“Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah
beriman” sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut, 2).
Apapun
bentuk ujian yang kita terima bukan persoalan yang besar untuk kita tanyakan,
tetapi bagaimana kita harus menghadapi ujian itu adalah pokok persoalannya
supaya kita tidak menjadi orang yang kufur terhadap segala pemberianNya kepada
kita. Sebagai seorang mukmin setiap ujian yang terjadi kepada kita ucapkanlah
dengan ‘innalillahi wa inna
illahi rojiun’ yang bermaksud “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”
Menerusi
rancangan Tarbiah di radio IKIMfm, Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya
Mohamad berkata hakikatnya kehidupan ini walau sesiapapun kita tidak akan
terlepas dari menghadapi ujian dan dugaanNya kerana Allah SWT sendiri telah
berfirman di dalam al-Quran, firmanNya
”Apakah
manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah
beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut Ayat 2).
Setiap
dari kita menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk. Malahan, ujian kenikmatan itu
sendiripun adalah satu ujian. Apatah lagi ujian sakit, ujian waktu, ujian
harta, ujian pekerjaan, ujian perhubungan atau apa juga bentuk peristiwa yang
terjadi kepada kita yang mana kita merasa sangat sulit jika berdepan dengan
keadaan situasi yang menuntut kesabaran itu.
Pelbagai
ujian yang menyakitkan inilah yang sangat banyak menuntut kita bukan hanya
untuk bersabar berdepan dengan ujian itu tetapi mendidik hati untuk lebih
terbuka melihat setiap ujian ke atas diri kita, kerana apa yang lebih benar,
setiap ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah terhadap setiap hamba dan
Allah menurunkan ujianNya untuk melatih kita lebih tabah dalam melalui
kehidupan ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Imran Ayat ke-200
bermaksud
“Hai
orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan
tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah,
supaya kamu beruntung.”
Kecil
atau berat ujian itu bukan bergantung seberapa besar ujian berkenaan tetapi
seberapa luas kita melihat ujian tersebut. Masalah, ujian dan dugaan adalah
satu perspektif yang kita perlu melihatnya dari sudut yang lebih positif
supaya kita berjaya dalam mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.
Ini
kerana ada orang menerima ujian dengan hati yang tabah, ada orang melihat ujian
yang sama dengan pandangan yang kecil. Lalu gagal untuk mengawal perasaan dan
mengambil tindakan yang tidak sewajarnya. Kegagalan kita mengawal emosi dalam
berdepan ujian inilah yang akan merugikan diri sendiri dan mungkin juga akan
menyakiti orang lain juga.
Perumpamaan
ujian dalam hidup ini boleh diibaratkan seperti sesenduk garam yang dicurahkan
ke dalam segelas air, dan sesenduk garam itu juga dicurahkan ke dalam sebaldi
air. Air yang di dalam gelas tentu lebih masin berbanding air yang di dalam
baldi tadi. Sama juga ujian bagi seseorang manusia seperti sesenduk garam yang
kalau diterima dengan hati yang sempit maka ujian itu menjadi berat, tetapi
kalau diterima dengan hati yang lapang dan luas, maka ujian itu menjadi ringan.
Oleh itu, luas dan lapangkan hati supaya ujian yang dilalui itu menjadi kecil
bagi kita.
Mengecilkan
masalah tidak akan menyelesaikan masalah atau ujian berkenaan, tetapi kita
harus meluaskan hati dan membesarkan minda supaya masalah yang kita lalui itu
dapat ditangani dengan satu penyelesaian yang bijak. Ini kerana orang yang
berjiwa besar tidak akan sama sekali terjejas dengan ujian-ujian yang dianggap
sebagai satu garam sahaja dalam kehidupan. Malah ujian yang jatuh pada hati
yang lapang dan kuat tidak mudah terasa sakit atau goyah.
Bagi
manusia yang jiwanya lapang, kuat dan utuh akan menganggap ujian seperti hasad
dengki, fitnah dan caci maki orang terhadapnya atau suami berkahwin lain
sebagai satu dugaan kecil kepadanya, malah langsung tidak menjejaskan akhlaknya
dalam mendepani cubaan sebegitu. Hati mereka ini tetap lapang dan selalu
mengembalikan setiap ujian itu sebagai tarbiah Allah buat dirinya.
Malahan
setiap ujian yang menimpa dirinya diterima dengan dada yang terbuka dan
mempunyai kepercayaan yang teguh bahawa setiap sesuatu ujian itu mengandungi
hikmah yang tersembunyi. Bagi mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan
keimanan yang tinggi terhadap qada dan qadar Allah swt tidak akan pernah tewas
dengan ujian sebaliknya dugaan itu dijadikan sebagai jalan untuk mendekatkan
dirinya dengan Allah SWT.
Namun,
kita tidak akan mampu menjadi orang yang lapang hati jika kita tidak mempunyai
keyakinan dan tinggi terhadap Allah. Keyakinan ini berhubung dengan kekuatan
akidah dalam diri kita sendiri. Bagi menguatkan akidah dan keyakinan terhadap
kekuasaan Allah kita hendaklah selalu persiapkan diri dengan mendekati segala
suruhannya dan menjauhi segala larangan dan maksiat yang akan menjauhkan diri
kita denganNya.
Kita
juga tidak akan mendapat kekuatan dalaman sekiranya tidak memiliki hati yang
bersih. Mulut dan percakapan yang kotor akan mengotorkan hati kita, fikiran
yang kotor akan mengotorkan hati kita, menjejaki tempat yang maksiat akan
mengotorkan hati kita. Justeru, selalulah membasuh hati dengan zikrullah dan
menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kerosakan kepada hati kita.
Dalam
kita mendepani ujian kehidupan, pastinya kita tidak boleh mengawal setiap ujian
dan dugaan yang mendatangi kita tetapi tugas kita adalah menggunakan
akidah yang mantap, kelembutan akhlak dan kesempurnaan amal ibadat kerana
dengan ini kita boleh menangani apa juga yang berlaku kepada kita. Ini kerana
peristiwa yang diiringi dengan reaksi akan membuahkan hasil dari setiap
tindakan yang kita ambil. Kita tidak mampu mengawal setiap peristiwa yang
berlaku tetapi kita mempunyai pilihan untuk memberi reaksi yang boleh
menghasilkan keputusan yang terbaik.
Begitu
juga setiap ujian sebenarnya adalah untuk melihat siapakah diri kita. Bagaimana
kita bertindak terhadap ujian, itulah diri kita. Ada orang tidak dapat mengawal
emosi dan perasaan ketika berdepan ujian, ada orang sabar dan tabah ketika
sedang diuji, ada orang lebih mendekatkan dirinya kepada Allah dan apapun
bentuk reaksi kita kepada masalah, itulah diri kita yang sebenar, walaupun
barangkali kita selalu berkeadaan baik ketika menjalani kehidupan ini.
Dengan
ujian juga, sebenarnya Allah mahu membersihkan kekotoran pada hati kita.
Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti air yang
membersihkan kotoran pada badan kita. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan
seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke
atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Ujian
atau musibah itu juga adalah satu bentuk Allah mengenalkan diriNya kepada
hambaNya. Bila kita tidak redha dengan ujian, bererti kita belum benar-benar
mengenali kekuasaan Allah dan sebab itulah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa
kita dengan cara memberikan ujian mengikut kemampuan hambanya sebagaimana
firman Allah yang bermaksud
“Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(Surah
Al-Baqarah ayat 286).
Rasulullah
SAW bersabda, “Barang siapa
yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan mencubanya
dengan ujianNya.” Justeru, lapangkanlah hati, kuatkan jiwa dan luaskan
perasaan saat kita menerima apa juga ujian Allah kerana setiap ujianNya tidak
diberi secara sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya
segala yang terjadi kepada kita pahit ketika berlaku tetapi manis bila
dikenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan