Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ
الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan
sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW
keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga
ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika seorang isteri mengharapkan
kasih sayang suami kepada dirinya dan seorang anak akan mengharapkan kasih
sayang ibu bapa maka lebih-lebih lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih
sayang yang cukup mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah
SWT kepada para hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Setiap sesuatu kebaikan yang
dikehendaki oleh Allah SWT ada tanda-tandanya . Terdapat tiga tanda-tanda
seorang hamba itu di kasihi dan disayangi oleh Allah SWT di dunia ini.
Tanda-tanda tersebut adalah seperti
berikut :
Pertama : Allah SWT memberikan
balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah
SWT.
Kedua : Allah SWT membukakan
kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.
Ketiga : Allah SWT akan memberi
kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara
hidup yang lengkap dan sempurna.
Huraiannya :
Pertama : Allah SWT memberikan
balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah
SWT.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap seseorang hambaNya,Ia terus
mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi,dan sebaliknya apabila
Allah mahukan keburukan terhadap seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan
perbuatannya yang berdosa di dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari
kiamat." (Hadis Riwayat Tabrani )
Sebahagian dari tanda kesayangan
Allah kepada hambaNya ialah Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar
manusia itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan
yang benar.Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan
mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat dan mereka terus lalai dan lupa di
dunia ini.
Setiap mukmin sepatutnya menerima
segala kesusahan yang berlaku di dunia ini dengan redha yang mungkin ianya
sebagai hukuman yang diturunkan Allah kerana kesalahan dirinya, atau mungkin
sebagai satu dari tanda kesayangan Allah. Adalah lebih baik jika kita
menerima hukuman atas kesalahan kita
di dunia ini lagi agar kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat kerana
balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk
bertaubat.
Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang
baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”
Melihat firman Allah di atas, jelas
bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada
cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan
dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan
hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya.
Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap
hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan
musibah sakit kepada hamba-Nya.
Oleh itu banyakkan bersabar dan
elakkanlah dari mengeluh dan berdukacita bila Allah SWT timpakan kesusahan dan
kepayahan di dunia ini.
Kedua : Allah SWT membukakan
kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang,nescaya ia
bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang
kukuh,Ia jadikan hatinya waspada terhadap liku-liku hidup yang dijalaninya, ia
jadikan hatinya sihat sejahtera dan lidahnya bercakap benar dan perangainya
lurus,dan Ia jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis
Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr)
Apabila Allah kasihkan seseorang
hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia
akan mempunyai keyakinan yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati dalam
hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati
seperti hasad,takabbur,riak, ujub, membalas dendam, marah dan sebagainya. Kesan
dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang
dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang
benar.
Adakah ciri-ciri ini kita miliki?
Jika ada maka itu adalah tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.
Ketiga : Allah SWT akan memberi
kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara
hidup yang lengkap dan sempurna.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah
menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muhammad bin
Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no.
hadis : 71.)
Apabila Allah SWT hendak memberikan
kebaikan kepada seorang hamba-Nya dan menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman
untuk memahami agama Islam dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam
kehidupannya. Agama Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah
agama untuk diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.
Orang mukmin yang diberikan kefahaman
agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan
dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan dihari akhirat.
Dia akan sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan
larangan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah
cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama
untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat 3)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah
diri kita sendiri. Jika tiga tanda-tanda di atas ada kita miliki ini bermakna
Allah SWT sedang menyayangi kita, tetapi jika tidak ada dikhuatiri kita sedang
dimurkai-Nya. Oleh itu bertaubatlah dan terus berdoa semoga kita di pelihara
oleh-Nya dan di sayangi-Nya dan kita terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia
sentiasa bersedia menerima taubat hamba-hamba-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan