Selasa, 3 Julai 2018

PINTU MASIH TERBUKA

“Bang sy nak taubat. Tapi dosa sy banyak bang, sy takut Tuhan tak ampun”

“Byk mana dosa kamu dik, ad setinggi langit ?”

“Huh ?”

“Wahai anak Adam ! Seandainya dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau minta ampunan kepadaKu, niscaya Aku mengampunimu dan Aku tidak peduli”

BUANG DURI



Adab dan sunnah Nabi s.a.w 

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

"Ketika seseorang berjalan di suatu jalan kemudian dia menjumpai sepotong duri di jalan itu lalu dia membuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."

Hadis Riwayat Bukhari💗

             Jom Selawat..

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ*

BAIK

Bismillah
20 syawal*

Berbuat baiklah dengan sesiapapun tanpa apa-apa kepentingan dan tanpa harap balasan. Lihatlah perkara baik-baik. Dengarlah perkataan yang baik-baik. Ucaplah perkataan yang baik-baik dan kita akan peroleh pula kebaikan yang tidak disangka2 dari mana datangnya...
In syaa Allah.

Pagi yg tenang lagi damai.
Syukur pada-Nya..💗

Ahad, 1 Julai 2018

AKIBAT TIDAK ISTIQAMAH


Minda Presiden PAS
AKIBAT TIDAK ISTIQAMAH
Firman Allah:
﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ  وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ  ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾ [الأنعام: 153]
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (Islam) yang betul lurus (istiqamah), maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-An’am: 153)
Inilah hikmah atau tujuan petunjuk Allah (istiqamah) yang dipohon pada setiap rakaat solat ketika mengadap Allah setiap waktu yang diwajibkan atau solat sunat, termasuk solat jenazah yang tidak ada rukun-rukun yang lain, namun Al-Fatihah memohon istiqamah tetap diwajibkan.
Rasulullah S.A.W menyebut ayat tersebut di atas kepada para sahabatnya R.A sambil menggaris di atas tanah garisan yang betul lurus dan panjang dengan jarinya yang mulia. Kemudian digariskan cabangnya yang banyak di sebelah kiri dan kanan. Baginda S.A.W menegaskan garis yang satu sahaja (Islam) wajib diikut. Adapun yang lain, di kiri dan kanan adalah jalan yang digoda oleh syaitan.
Lalu ditegaskan pula bahawa Al-Quran adalah petunjuknya dan Rasulullah S.A.W yang bersabda dan beramal adalah penjelasannya dalam semua perkara yang dinamakan agama atau urusan dunia yang tidak terpisah daripada Islam yang sempurna merangkumi seluruh kehidupan manusia dalam hubungannya dengan Allah, dirinya dan manusia yang lain sehinggalah alam sekelilingnya yang nyata sehingga alam ghaib, daripada bumi sehingga angkasa lepas, daripada dunia sehingga akhirat.
Rasulullah S.A.W menunjukkan cara beribadat sehinggalah cara berpolitik memerintah negara masyarakat majmuk. Dijelaskan dengan nyata wajib berwala’ (berketuakan atau kepimpinan dan pengurusannya) kepada orang-orang yang beriman. Diharamkan berwala’ kepada bukan Islam menjadi sempadan berpolitik. Hanya dibenarkan bermasyarakat madani (bertaaruf), bertahaluf, berdamai dan bertaawun sahaja. Firman Allah menegaskan:
﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia daripada Allah (mendapat petunjuk dan perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya (keadaan darurat) yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Surah Ali-Imran: 28)
Maka termasuk dalam prinsip dan dasar keimanan yang menjadi aqidah tetap, jelas dan nyata tidak harus berbeza pendapat. Hanya perkara furu’ atau cabang boleh berkhilaf atau berbeza pendapat kerana berbeza sebab, realiti dan situasi yang melahirkan mazhab yang diizinkan oleh syara’, bahkan semuanya diberi pahala berijtihad dengan syarat- syarat dan sifat keahlian ilmu dan akhlaknya, kerana sabda Rasulullah S.A.W:
إذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)
“Apabila seseorang yang mencari hukum secara ijtihad (dalam perkara yang tidak ada nas yang nyata) kemudian dia betul, nescaya diberi dua pahala. Dan apabila dia berjtihad, kemudian dia salah necaya diberi kepadanya satu pahala” (Muttafaqun ‘alaih)
Orang-orang yang telah pun beriman kepada Kitab Allah (Al-Quran) pula ada berbagai-bagai peringkat dan kemampuan melaksanakannya. Ada yang rajin, ada yang malas dan ada yang tenggelam ke dalam maksiat, namun tetap beriman kepadanya. Allah berfirman:
﴿وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ  إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ٣١ ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا  فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ  ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ٣٢﴾ [فاطر: 31-32]
“Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi Maha Melihat dan Memerhatikan. (31) Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka, ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32)” (Surah Fatir: 31-32)
Adapun mereka yang menolak Al-Quran, membatalkan iman dan Islamnya, atau membatalkan Dua Syahadahnya yang telah diikrarkan atau melanggar baiahnya, Firman Allah telah menyatakan akibat menimpa mereka di Hari Akhirat apabila Al-Quran tidak dijadikan petunjuk dengan sengaja, bukannya jahil atau hilang akalnya sama ada pemimpin atau pengikut:
﴿وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَنْ نُؤْمِنَ بِهَذَا الْقُرْآنِ وَلَا بِالَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ  وَلَوْ تَرَى إِذِ الظَّالِمُونَ مَوْقُوفُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ يَرْجِعُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ الْقَوْلَ يَقُولُ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لَوْلَا أَنْتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ٣١ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا أَنَحْنُ صَدَدْنَاكُمْ عَنِ الْهُدَى بَعْدَ إِذْ جَاءَكُمْ  بَلْ كُنْتُمْ مُجْرِمِينَ٣٢ وَقَالَ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا بَلْ مَكْرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَا أَنْ نَكْفُرَ بِاللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُ أَنْدَادًا  وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ وَجَعَلْنَا الْأَغْلَالَ فِي أَعْنَاقِ الَّذِينَ كَفَرُوا  هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ٣٣﴾ [سبأ: 31-33]
“Dan orang-orang yang ingkar (menolak Al-Quran) berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya”. Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim (menjadi pemimpin) itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang lemah atau jahil (menjadi pengikut) berkata kepada orang-orang yang sombong takabbur (yang menjadi ketuanya): “Kalaulah tidak kerana kamu (memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman”. (31) Orang-orang yang sombong takabbur itu (para pemimpin) menjawab kepada orang-orang yang lemah atau bodoh (menjadi pengikut):” Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”. (32) Dan berkata pula orang-orang yang lemah atau bodoh (menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takabbur (menjadi pemimpin) itu: “Tidak! bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu baginya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan. (33)” (Saba’; 31-33)
Maksudnya ingkar terhadap perkara dasar, syarat dan rukun di luar daripada urusan ijtihad mazhab di dalam Islam, seperti mereka menganut ideologi atau teori yang dicipta di luar daripada prinsip dan hukum yang nyata di dalam Islam yang menyeluruh, walaupun diletakkan jenama Islam dan istilahnya dengan tujuan menipu atau cara yang sesat, kerana mencari jalan pintas untuk kemenangan dunia tanpa peduli terhadap wawasan akhirat.
Perkara yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W apabila ditawarkan kepadanya kuasa tanpa mendaulatkan Islam. Sabda Baginda S.A.W kepada Abu Talib, bapa saudaranya:
يا عم لو وضعت الشمس في يميني والقمر في يساري ما تركت الأمر حتى يظهره الله أو أهلك في طلبه. سيرة ابن اسحاق = السير والمغازي (ص:  154(
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Kalaulah diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, nesacaya aku tidak akan meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati dalam menuntut kemenangannya (yang belum dicapai)”
Begitulah juga perintah Allah supaya terus beristiqamah bersama Islam apabila dicabar oleh musuhnya dengan bersyarat kemewahan dunia atau menunjukkan perkara luar biasa atau bala mendatang supaya mereka menerima tawaran Islam:
﴿وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا٩٠ أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا٩١ أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا٩٢ أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِنْ زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَى فِي السَّمَاءِ وَلَنْ نُؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّى تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَقْرَؤُهُ  قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنْتُ إِلَّا بَشَرًا رَسُولًا٩٣﴾ [الإسراء: 90-93]
 “Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga Engkau memancarkan mata air dari bumi bagi kami. (90) Atau (sehingga) Engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian Engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. (91) Atau (sehingga) Engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana Yang Engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) Engkau bawakan Allah dan malaikat untuk Kami menyaksikannya. (92) Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah rumah yang indah terhias; atau (sehingga) Engkau naik ke langit; dan Kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum Engkau turunkan kepada Kami sebuah Kitab Yang dapat Kami membacanya”. Katakanlah (Wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah Aku ini hanya seorang manusia Yang menjadi Rasul? (93)” (Surah Isra’: 90-93)

Maka termasuk tidak beristiqamah juga, sehingga berjanji apa sahaja demi kemenangan semata-mata, walaupun berbohong dengan janji yang tidak mungkin ditunaikan dalam sekelip mata.
Amaran lebih keras terhadap berwala’ kepada musuh Islam demi mencapai cita-cita kemenangan sehingga disenaraikan dengan sifat munafik. Firman Allah:
﴿بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ  أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا١٣٩﴾ [النساء: 138-139]
“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (mereka itu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin atau teman rapat) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139)” (Surah An-Nisa’: 138-139)
Sejarah hilangnya kuasa Islam di Andalusia dan kejatuhan Negara Arab, Nusantara dan lain lain oleh penjajah cukup menjadi iktibar supaya tidak berulang lagi kerana sabda Rasulullah S.A.W:
لا يلدغ مؤمن من جحر واحد مرتين (البخاري ومسلم وغيرهما)
“Tidak seharusnya seseorang yang beriman itu disengat daripada satu lubang sebanyak dua kali”
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 13 Syawal 1439 / 27 Jun 2018

UJIAN YANG DIRINDUI



Ketika Allah rindu pada hambaNya, Allah akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian...

Dalam hadith qudsi Allah berfirman:

"Pergilah pada hamba Ku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."
[HR Thabrani dan Abu Umamah]

Terima kasih Allah... atas rahmat ujian Mu ini...
Sesungguhnya aku insan yang terpilih untuk menerima segala dugaan ini dari Mu...

Alhamdulillah.. Terima kasih Allah kerana Kau rindukan rintihan hamba Mu yang kerdil ini..
Terima kasih Ya Allah atas nikmat dugaan ini..


10 TANDA ALLAH SWT SAYANGKAN KITA


TANDA-TANDA ALLAH SWT BENCI ATAU SAYANG KEPADA HAMBANYA


Allah Ta’ala berfirman mafhumnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, tentu engkau semua dicintai oleh Allah, serta Allah mengampuni dosamu semua dan Allah itu adalah Maha Pengampun lagi Penyayang,” [Surah Al-lmran : 31]

Apa lagi yang lebih berharga dan lebih penting dari mendapat CINTA dari Allah S.W.T Pencipta sekalian makhluk.  Jika sudah mendapat cinta Allah, maka insyaAllah akan berbahagialah hidup di dunia dan juga di akhirat.

Di antara tanda-tanda Allah cinta pada hambaNya;

1 – Faham agama: Rasulullah S.a.w bersabda, maksudnya : “Apabila Allah mencintai seseorang maka Dia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

“……. Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat, dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”  [Surah Al-Mujadilah : ayat 11]

2 – Sabar dan redha dengan ujian-ujian dari Allah: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah Al-Baqarah : 155-157]

“Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum pasti Dia menguji mereka. Maka siapa yang redha (terhadapnya) maka baginya keredhaan Allah, dan siapa yang marah (terhadapnya) maka baginya kemurkaan Allah.” [Hadits Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

“Tidaklah seorang mukmin dan mukminah tertimpa musibah pada dirinya, anaknya dan hartanya sehingga dia berjumpa Allah Ta’ala tidak membawa satu kesalahan pun.” [Hadits Riwayat Al-Tirmidzi. Beliau berkata: hadits hasan shahih] [1]

“Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat.”  [Hadits Riwayat Tirmizi, 2396]

Oleh itu antara tanda Allah mencintai seorang hamba juga ialah Dia uji hamba itu dengan pelbagai ujian. Maka jika hamba itu bersabar dan redha, itulah tandanya Allah cintakan hamba tersebut.

Dan ketahuilah, para rasul dan nabi lah yang paling berat menerima ujian dan musibah dari Allah S.w.t. Kerana itulah darjat mereka tinggi, dan menjadi teladan kepada seluruh manusia dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar ini.

3 – Cinta mencintai kerana Allah: “Allah s.w.t berfirman, “pasti akan mendapatcinta-Ku orang-orang yang cinta-mencintai kerana Aku, saling kunjung mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku.” [Hadits Qudsi]

Semoga kita tidak menjadi orang yang cintakan manusia lain kerana nafsu syahwat, harta-benda dan keduniaan semata-mata. Cinta yang paling utama ialah cinta kepada Allah S.w.t, kemudian kepada Rasulullah S.a.w, ibu bapa dan barulah manusia-manusia lain.

4 – Berakhir hidup dengan husnul khatimah: Rasulullah S.a.w bersabda:
“Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya.”
Sahabat bertanya: “Apa itu memaniskannya ya Rasulullah?”
Baginda berkata: “Dia akan memberinya petunjuk untuk melakukan kebaikan ketika menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredhainya (atau ia berkata) orang sekelilingnya.” [Hadits Riwayat Al-Hakim]

5 – Sentiasa berzikir pada Allah: Diriwayatkan bahawa Nabi Musa ‘Alaihi salam pernah berkata, ” Wahai Rabb Ku Yang Maha Mulia, Bagaimana aku dapat membezakan antara orang yang ENGKAU CINTAI dengan orang yang ENGKAU BENCI?”

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman:  “Wahai Musa, Sesungguhnya jika Aku mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya”
Nabi Musa bertanya, “Wahai Rabb, apa kedua tanda itu?”

Allah S.w.t berfirman:  “Aku akan mengilhamkannya agar dia berdzikir kepada Ku, agar aku dapat menyebutnya di kerajaan langit dan Aku akan menahannya dari lautan murka Ku, agar dia tidak terjerumus dalam azab dan siksaKu.”

Tanda-Tanda Allah Benci Pada Hambanya

1 – Lupa dan malas berzikir pada Allah: “Wahai Musa, jika Aku membenci seorang hamba, Aku jadikan juga dua tanda kepadanya”

Nabi Musa Alaihisalam : “Wahai RabbKu, apa kedua tanda itu?”
Allah S.w.t berfirman : “Aku akan melupakannya berdzikir kepada Ku, Aku akan melepaskan ikatan antara dirinya dan jiwanya,  agar dia terjerumus dalam lautan Murka Ku dan merasakan azab pedihKu.” [2]

2 – Syirik kepada Allah S.w.t: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” [Surah An Nisa’ : 48]

3 – Hidup senang-lenang tanpa mendapat ujian berat yang membolehkannya menginsafi diri dan takut pada Allah.

“Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat.”  [Hadits Riwayat Tirmizi, 2396]

4 – Banyak melakukan maksiat dan kerosakan, terutamanya maksiat dan perkara-perkara mungkar yang terang-terang tanpa malu dan segan.

“Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat.” [Surah Al Baqarah : ayat 205]

“Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa.” [Surah An Nisaa’ : ayat 107]

“……. dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya, sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.” [Surah al-Hajj : ayat 18]
5 – Cinta kepada dunia dan hawa nafsu lebih daripada cinta kepada Allah dan RasulNya.

“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Suraah At Taubah : Ayat 24]

“Tidak (sempurna) iman seorang daripada kamu sehingga aku (Muhammad) lebih disayangi daripada hartanya, anaknya dan orang lain.” [Hadits riwayat Bukhari]

“Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkan dirinya padahal dia berilmu…” [Surah Al Jatsiyah : ayat 23]

6 – Orang yang sombong (takabbur).  “……. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri.” [Surah An-Nisaa’ : ayat 36]

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [Surah Luqman : ayat 18]

“Mahukah kamu aku beritahu tentang penduduk neraka? Mereka semua adalah orang-orang keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur (sombong).” [HR Bukhari no. 4918 dan Muslim no. 2853]
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan selipar yang bagus?” Beliau S.a.w menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain.” [HR Muslim no. 91]

Imam Adz-Dzahabi rahimahullahu berkata, “Kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi orang tersebut tidak bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Barangsiapa yang menuntut ilmu demi akhirat maka ilmunya itu akan menimbulkan hati yang khusyu’ serta jiwa yang tenang. Dia akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk terus memerhatikannya, bahkan setiap saat dia selalu introspeksi dan meluruskannya. Apabila dia lalai dari hal itu, dia akan menyimpang dari jalan yang lurus dan akan binasa. Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk membanggakan diri dan meraih kedudukan, memandang remeh kaum muslimin yang lainnya serta membodoh-bodoh dan merendahkan mereka, maka hal ini merupakan kesombongan yang paling besar. Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar dzarrah (biji sawi).  Laa haula wa laa quwwata illaa billah.” [3]

7 – Orang yang tidak tenang dan sentiasa resah-gelisah kerana dunia. “……. dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.” [Surah al-An’aam : ayat 125]

8 – Orang yang menentang ajaran Islam.   Umar ibnu al-Khattab r.a berkata, “Kita dimuliakan Allah dengan Islam dan barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam, maka dia akan dihinakan.” [Ibnu Abdil Birr dalam kitab Al-Mujalasah wa Jawahiril Ilmi, juz II, hlm 273]

“Dan tidaklah layak bagi orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah S.w.t dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa dia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab : ayat 36]

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.” [Surah Al-Ma’idah : ayat 49]

TERDAPAT TIGA TANDA-TANDA HAMBA KESAYANGAN ALLAH SWT.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika seorang isteri mengharapkan kasih sayang suami kepada dirinya dan seorang anak akan mengharapkan kasih sayang ibu bapa maka lebih-lebih lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih sayang yang cukup mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah SWT kepada para hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Setiap sesuatu kebaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT ada tanda-tandanya . Terdapat tiga tanda-tanda seorang hamba itu di kasihi dan disayangi oleh Allah SWT di dunia ini.  

Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Kedua : Allah SWT  membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Huraiannya :

Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap seseorang hambaNya,Ia terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi,dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan terhadap seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan perbuatannya yang berdosa di dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Tabrani )

Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada hambaNya ialah Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar manusia itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan yang benar.Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat dan mereka terus lalai dan lupa di dunia ini.

Setiap mukmin sepatutnya menerima segala kesusahan yang berlaku di dunia ini dengan redha yang mungkin ianya sebagai hukuman yang diturunkan Allah kerana kesalahan dirinya, atau mungkin sebagai satu dari tanda kesayangan Allah. Adalah lebih baik jika kita

menerima hukuman atas kesalahan kita di dunia ini lagi agar kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat kerana balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk bertaubat.

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.

Oleh itu banyakkan bersabar dan elakkanlah dari mengeluh dan berdukacita bila Allah SWT timpakan kesusahan dan kepayahan di dunia ini.

Kedua : Allah SWT  membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang,nescaya ia bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh,Ia jadikan hatinya waspada terhadap liku-liku hidup yang dijalaninya, ia jadikan hatinya sihat sejahtera dan lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus,dan Ia jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr)

Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad,takabbur,riak, ujub, membalas dendam, marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.

Adakah ciri-ciri ini kita miliki? Jika ada maka itu adalah tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadis : 71.)

Apabila Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seorang hamba-Nya dan menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami agama Islam dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam kehidupannya. Agama Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah agama untuk diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.

Orang mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan dihari akhirat. Dia akan sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat 3)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri. Jika tiga tanda-tanda di atas ada kita miliki ini bermakna Allah SWT sedang menyayangi kita, tetapi jika tidak ada dikhuatiri kita sedang dimurkai-Nya. Oleh itu bertaubatlah dan terus berdoa semoga kita di pelihara oleh-Nya dan di sayangi-Nya dan kita terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia sentiasa bersedia menerima taubat hamba-hamba-Nya.

UJIAN TANDA ALLAH CINTAKAN HAMBANYA

Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran saat manusia bertanya akan ujian yang selalu mendatangi dirinya. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut, 2).

Apapun bentuk ujian yang kita terima bukan persoalan yang besar untuk kita tanyakan, tetapi bagaimana kita harus menghadapi ujian itu adalah pokok persoalannya supaya kita tidak menjadi orang yang kufur terhadap segala pemberianNya kepada kita. Sebagai seorang mukmin setiap ujian yang terjadi kepada kita ucapkanlah dengan ‘innalillahi wa inna illahi rojiun’ yang bermaksud “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”

Menerusi rancangan Tarbiah di radio IKIMfm, Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad berkata hakikatnya kehidupan ini walau sesiapapun kita tidak akan terlepas dari menghadapi ujian dan dugaanNya kerana Allah SWT sendiri telah berfirman di dalam al-Quran, firmanNya

”Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut Ayat 2).

Setiap dari kita menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk. Malahan, ujian kenikmatan itu sendiripun adalah satu ujian. Apatah lagi ujian sakit, ujian waktu, ujian harta, ujian pekerjaan, ujian perhubungan atau apa juga bentuk peristiwa yang terjadi kepada kita yang mana kita merasa sangat sulit jika berdepan dengan keadaan situasi yang menuntut kesabaran itu.

Pelbagai ujian yang menyakitkan inilah yang sangat banyak menuntut kita bukan hanya untuk bersabar berdepan dengan ujian itu tetapi mendidik hati untuk lebih terbuka melihat setiap ujian ke atas diri kita, kerana apa yang lebih benar, setiap ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah terhadap setiap hamba dan Allah menurunkan ujianNya untuk melatih kita lebih tabah dalam melalui kehidupan ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Imran Ayat ke-200 bermaksud

“Hai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.”

Kecil atau berat ujian itu bukan bergantung seberapa besar ujian berkenaan tetapi seberapa luas kita melihat ujian tersebut. Masalah, ujian dan dugaan adalah satu perspektif yang kita perlu melihatnya dari sudut yang lebih positif  supaya kita berjaya dalam mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

Ini kerana ada orang menerima ujian dengan hati yang tabah, ada orang melihat ujian yang sama dengan pandangan yang kecil. Lalu gagal untuk mengawal perasaan dan mengambil tindakan yang tidak sewajarnya. Kegagalan kita mengawal emosi dalam berdepan ujian inilah yang akan merugikan diri sendiri dan mungkin juga akan menyakiti orang lain juga.

Perumpamaan ujian dalam hidup ini boleh diibaratkan seperti sesenduk garam yang dicurahkan ke dalam segelas air, dan sesenduk garam itu juga dicurahkan ke dalam sebaldi air. Air yang di dalam gelas tentu lebih masin berbanding air yang di dalam baldi tadi. Sama juga ujian bagi seseorang manusia seperti sesenduk garam yang kalau diterima dengan hati yang sempit maka ujian itu menjadi berat, tetapi kalau diterima dengan hati yang lapang dan luas, maka ujian itu menjadi ringan. Oleh itu, luas dan lapangkan hati supaya ujian yang dilalui itu menjadi kecil bagi kita.

Mengecilkan masalah tidak akan menyelesaikan masalah atau ujian berkenaan, tetapi kita harus meluaskan hati dan membesarkan minda supaya masalah yang kita lalui itu dapat ditangani dengan satu penyelesaian yang bijak. Ini kerana orang yang berjiwa besar tidak akan sama sekali terjejas dengan ujian-ujian yang dianggap sebagai satu garam sahaja dalam kehidupan. Malah ujian yang jatuh pada hati yang lapang dan kuat tidak mudah terasa sakit atau goyah.

Bagi manusia yang jiwanya lapang, kuat dan utuh akan menganggap ujian seperti hasad dengki, fitnah dan caci maki orang terhadapnya atau suami berkahwin lain sebagai satu dugaan kecil kepadanya, malah langsung tidak menjejaskan akhlaknya dalam mendepani cubaan sebegitu. Hati mereka ini tetap lapang dan selalu mengembalikan setiap ujian itu sebagai tarbiah Allah buat dirinya.

Malahan setiap ujian yang menimpa dirinya diterima dengan dada yang terbuka dan mempunyai kepercayaan yang teguh bahawa setiap sesuatu ujian itu mengandungi hikmah yang tersembunyi. Bagi mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan keimanan yang tinggi terhadap qada dan qadar Allah swt tidak akan pernah tewas dengan ujian sebaliknya dugaan itu dijadikan sebagai jalan untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Namun, kita tidak akan mampu menjadi orang yang lapang hati jika kita tidak mempunyai keyakinan dan tinggi terhadap Allah. Keyakinan ini berhubung dengan kekuatan akidah dalam diri kita sendiri. Bagi menguatkan akidah dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah kita hendaklah selalu persiapkan diri dengan mendekati segala suruhannya dan menjauhi segala larangan dan maksiat yang akan menjauhkan diri kita denganNya.

Kita juga tidak akan mendapat kekuatan dalaman sekiranya tidak memiliki hati yang bersih. Mulut dan percakapan yang kotor akan mengotorkan hati kita, fikiran yang kotor akan mengotorkan hati kita, menjejaki tempat yang maksiat akan mengotorkan hati kita. Justeru, selalulah membasuh hati dengan zikrullah dan menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kerosakan kepada hati kita.

Dalam kita mendepani ujian kehidupan, pastinya kita tidak boleh mengawal setiap ujian dan dugaan yang mendatangi kita tetapi tugas kita adalah menggunakan  akidah yang mantap, kelembutan akhlak dan kesempurnaan amal ibadat kerana dengan ini kita boleh menangani apa juga yang berlaku kepada kita. Ini kerana peristiwa yang diiringi dengan reaksi akan membuahkan hasil dari setiap tindakan yang kita ambil. Kita tidak mampu mengawal setiap peristiwa yang berlaku tetapi kita mempunyai pilihan untuk memberi reaksi yang boleh menghasilkan keputusan yang terbaik.

Begitu juga setiap ujian sebenarnya adalah untuk melihat siapakah diri kita. Bagaimana kita bertindak terhadap ujian, itulah diri kita. Ada orang tidak dapat mengawal emosi dan perasaan ketika berdepan ujian, ada orang sabar dan tabah ketika sedang diuji, ada orang lebih mendekatkan dirinya kepada Allah dan apapun bentuk reaksi kita kepada masalah, itulah diri kita yang sebenar, walaupun barangkali kita selalu berkeadaan baik ketika menjalani kehidupan ini.

Dengan ujian juga, sebenarnya Allah mahu membersihkan  kekotoran pada hati kita. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti air yang membersihkan kotoran pada badan kita. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Ujian atau musibah itu juga adalah satu bentuk Allah mengenalkan diriNya kepada hambaNya. Bila kita tidak redha dengan ujian, bererti kita belum benar-benar mengenali kekuasaan Allah dan sebab itulah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa kita dengan cara memberikan ujian mengikut kemampuan hambanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(Surah Al-Baqarah ayat 286).

Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan mencubanya dengan ujianNya.” Justeru, lapangkanlah hati, kuatkan jiwa dan luaskan perasaan saat kita menerima apa juga ujian Allah kerana setiap ujianNya tidak diberi secara sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya segala yang terjadi kepada kita pahit ketika berlaku tetapi manis bila dikenang.

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH




Ujian Dari Allah Buat Hambanya | Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari.

Di celah-celah hari  berwarna-warni  yang di jalani dan ditelusuri, tanpa  disedari atau tidak, manusia sebenarnya  telahpun menempuh pelbagai ujian dan dugaan duniawi.

Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…
(Al-Baqarah: 286)

ALLAH telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya.

ALLAH  mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu  ALLAH memberikan  ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya.

ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi percayalah  ALLAH menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.

Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita.

Ada di kalangan  manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.

“ Kenapa aku yang diuji ? “

“ Mengapa aku diuji sebegini ?”

“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”

Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan secebis ujian.

Kadangkala  tanpa sedar dan niat  kita juga  terlanjur marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.

Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah  kembali, tenyata sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung. Mengapa saya katakan begitu?

Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Al-Baqarah: 214)

Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan muncul tiba.

Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang bakal menyapa  itu.

Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?

Manusia itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di dunia, kita lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba DIA yang Esa.

Jadi apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan ini?

UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah yang menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.

Allah Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian.

Apa yang paling utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di dalam Al-Quran:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Al-Ankabut: 2)

Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji.

Inilah saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu bebanan.

Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.

Pembaca yang dikasihi oleh Allah,

Jika anda saat ini sedang diuji, ingin saya sampaikan sesungguhnya bersyukur dan berbahagialah anda kerana ujian itu hadiah daripada Allah.


PINTU MASIH TERBUKA

“Bang sy nak taubat. Tapi dosa sy banyak bang, sy takut Tuhan tak ampun” “Byk mana dosa kamu dik, ad setinggi langit ?” “Huh ?” “Wahai...