Sabtu, 30 Jun 2018

3 LANGKAH BERKESAN UNTUK MENGHADAPI UJIAN ALLAH

Ujian merupakan dugaan yang Allah S.W.T turunkan untuk menguji sejauh mana kekuatan iman hamba-hambaNya.
Ujian diturunkan dalam dua jenis sama ada kesusahan ataupun kesenangan.
Contoh bagi kesusahan adalah seperti sakit, ditimpa musibah dan sebagainya manakala bagi bentuk kesenangan pula seperti kekayaan, dikurniakan anak yang cerdik dan lain-lain.
Sememangnya dugaan berbentuk kesenangan adalah untuk melihat sejauh mana manusia bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga. Nikmat kesusahan pula diberikan untuk Allah meninggikan darjat iman seseorang itu.
Allah S.W.T. menurunkan dugaan kesusahan kerana merindui seseorang itu. Mungkin kerana faktor kesibukan kerja, seseorang itu telah terkurang ibadatnya. Jadi, Allah S.W.T. merinduinya untuk beribadat.
Atas dasar itulah Allah S.W.T. menurunkan ujian kepadanya supaya dia berdoa dan merayu kepada Allah agar dipermudahkan jalan penyelesaian buat ujian yang dihadapinya.
Hanya orang kuat akan diduga oleh Allah S.W.T. Harus juga diingat bahawa segala ujian yang Allah S.W.T. berikan juga hanyalah mengikut kemampuan seseorang itu.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 mafhumnya: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya, dia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…”
Melalui ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa ujian yang diturunkan kepada kita itu tidaklah terlalu berat sehingga kita tidak mampu untuk memikulnya. Allah Maha adil. Allah sesekali tidak akan membebankan hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka hadapi.
Namun, realitinya pada hari ini amat menyedihkan. Tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar memahami konsep ujian yang Allah S.W.T. turunkan ini. Kebanyakannya berpendapat ujian Allah ini sebagai satu seksaan kepada mereka.
Ini jelas sekali bertentangan dengan konsep ujian daripada Allah. Ujian sebenarnya merupakan satu peluang kepada kita untuk ditingkatkan darjat di sisi Allah.
Ramai juga yang mengeluh setiap kali ditimpa ujian. Malah, lebih teruk ada yang sehingga mencaci-maki tatkala merasakan bebanan ujian itu terlalu berat untuk dihadapi.
Kadangkala, ujian itu tidak seberat mana. Namun, oleh kerana terlalu banyak mengeluh, jalan penyelesaian untuk sesuatu ujian itu menjadi kabur.
Sewajarnya sebagai seorang yang beriman, kita bertenang dan berdoa kepada Allah supaya ujian yang diberikan kepada kita itu mudah.

Di sini saya akan kongsikan beberapa langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi ujian Allah. Hal ini demi memastikan kita dapat menerima ujian itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya mengeluh serta mengaku kalah.
Antara langkah tersebut ialah:

1.Sabar

Sabar itu separuh daripada iman. Terdapat satu kata pujangga yang sangat menarik untuk didengari berkaitan dengan sabar iaitu ’orang yang kuat adalah orang yang mampu sabar dan menahan marahnya.’
Ini sememangnya benar. Tidak semua manusia mampu bersabar. Apabila mendapat sesuatu masalah atau musibah, kita lebih suka mengeluh daripada bersabar.
Sifat sabar itu sememangnya nampak mudah tetapi amat sukar untuk kita milikinya. Sebagai contoh, kita dibuli oleh seseorang. Adakah kita ingin bersabar ataupun membalas perbuatannya itu?
Apabila datangnya situasi begini, amat sukarlah untuk kita menguasai sifat sabar itu. Oleh yang demikian, kuasailah sifat sabar ini dalam diri. Sentiasalah bersabar apabila diduga oleh Allah.
Nescaya Allah akan memberikan lebih ganjaran kepada kita berkat kesabaran yang dimiliki itu.

2. Berfikiran Positif

Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran kita sendiri ataupun dipanggil mindset. Tetapkanlah di dalam minda bahawa setiap ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisiNya.
Yakinlah juga bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya suatu hikmah. Sentiasalah berfikiran positif ketika menghadapi ujian Allah.
Sebagai contoh, jika kita diuji dengan kesakitan sehingga menyebabkan kita tidak dapat pergi ke tempat kerja. Hikmahnya ialah mungkin diri kita perlukan rehat setelah terlalu sibuk bekerja. Masa ini juga boleh kita gunakan untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Terdapat juga tanggapan tentang konsep ujian di mana ada yang menyatakan bahawa ujian ini merupakan kifarah dosa ataupun balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan sebelum ini. Hal ini betul, tetapi tidak semestinya.
Jika diteliti pada sirah Nabi Muhammad S.A.W., Baginda turut diturunkan dengan pelbagai ujian malah lebih berat daripada ujian yang ditimpakan kepada kita pada hari ini. Adakah kerana Baginda berdosa? Tidak sama sekali.
Rasulullah S.A.W. adalah maksum, iaitu terpelihara daripada dosa dan telah dijanjikan syurga kepadanya.

3. Beristighfar

Sebaik sahaja sedar kita ditimpa ujian, beristighfarlah dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya dengan beristighfar dapat menenangkan sedikit hati yang sedang lara.
Tidak dinafikan, berat sekali mulut kita untuk beristighfar ketika ditimpa ujian, malah mulut kita lebih ringan untuk mengungkap kata-kata kesat bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.
Cubalah yang terbaik untuk beristighfar. Andai kata terlalu sukar, mulakanlah dengan menyebut nama Allah setiap kali kita ditimpa masalah.
Biasakan diri berbuat begitu sehinggalah diri kita sudah terbiasa. Yakinlah bahawa setiap masalah yang kita hadapi itu ada penyelesaiannya.
Allah inginkan kita untuk berusaha demi menyelesaikan permasalahan tersebut. Setiap usaha yang kita jalankan juga telah dijanjikan pahala oleh Allah.
******
Kesimpulannya, Allah S.W.T. menurunkan ujian bukanlah untuk membebankan manusia tetapi untuk meningkatkan darjat mereka.
Setinggi mana pun tahap ujian yang kita terima sememangnya ada hikmah yang terlindung di sebaliknya.
Jangan sesekali berputus asa atas dugaan yang diterima.
Sebaliknya, tanamkanlah dalam fikiran bahawa ujian yang diterima itu hanyalah sekadar kemampuan diri dan bertujuan meninggikan lagi darjat kita di sisi Allah S.W.T.

UJIAN ITU TARBIYAH DARIPADA ALLAH

Ketika Allah rindukan hambaNya, maka Dia hadirkan hadiah berupa ujian. Saat itu, bersabarlah dan bersyukurlah. Ujian itu hadir tidak semestinya dalam bentuk musibah. Kita sering lupa bahawa nikmat juga satu ujian.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (Al-Ankabut:2-3)
Kadangkala kita diuji dengan sesuatu yang tak pernah kita duga. Kita memberontak, kita persoalkan kenapa kita diuji. Tanpa kita sedar, di sebalik ujian Allah itu terselit seribu satu hikmah yang sarat dengan kasih sayangNya.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Ujian itu akan selalu menimpa seorang hamba sampai Allâh membiarkannya berjalan di atas bumi dengan tidak memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Teringat satu pertemuan dengan seorang pak cik sewaktu di hospital. Waktu itu aku ke hospital sebagai pelawat sahaja; mengikut umi dan abah melawat sahabat mereka yang baru sahaja ditimpa kemalangan.
Kerana bosan terlalu lama menunggu umi dan abah berbual-bual, aku berjalan ke luar wad. Kuperhatikan di sekeliling. Ada pelawat dengan anak kecil, ada pesakit yang sedang dipimpin oleh ahli keluarga – mungkin ingin exercise meregangkan urat-urat badan setelah terlalu lama terbaring.
Mataku tertarik pada satu sosok pak cik tua yang sedang bersendirian di atas kerusi roda di satu sudut taman. Kakinya berbalut separas lutut.
Dia merenung ke hadapan, seperti ada sesuatu yang sedang difikirkan. Aku memberanikan diri menghampiri.
“Assalamualaikum pak cik,” aku menyapa.
“Waalaikumussalam.”
“Pak cik tengok apa tu?” Tanyaku untuk memecahkan kebuntuan.
“Pak cik tengok budak-budak tu bermain. Seronok. Bila mereka gelak pak cik pun rasa terhibur. Teringat masa anak-anak pak cik kecil dulu,” ada senyum dalam kata-katanya.
“Pak cik ada anak? Berapa orang?” Aku berbahasa.
“Ada. Enam orang. Semua dah bekerja. Sebelum ni jarang pak cik jumpa anak-anak pak cik. Masing-masing sibuk. Mereka sibuk dengan kerja mereka, pak cik sibuk dengan kerja pak cik. Isteri pak cik dah lama takde. Lepas isteri pak cik meninggal jugalah anak-anak jarang jenguk pak cik. Mereka salahkan pak cik untuk jadi penyebab isteri pak cik meninggal. Isteri pak cik meninggal dalam kemalangan masa kami nak ke kedai. Kami berlanggar dengan lori, tapi hanya pak cik yang selamat. Sebab tu lah anak-anak salahkan pak cik kerana cuai,” cerita pak cik sebak.
“Astaghfirullahalazim,” ujarku. Tidak tercapai dek akal pemikiran anak-anak pak cik itu. Mengapa disalahkan si ayah? Sedangkan itu semua takdir yang sudah tertulis. Rasa simpatiku semakin bercambah.
“Sebab tu pak cik sibukkan diri, nak elakkan rasa sunyi. Sampailah satu hari pak cik terjatuh lepas tersadung batu. Kaki pak cik luka, dua minggu juga pak cik tak dapat berjalan,” pak cik itu mula berkongsi ceritanya dengan aku.
“Dalam tempoh dua minggu tu anak-anak balik dan bergilir jaga pak cik. Mereka ambil cuti paling kurang sehari setiap minggu untuk jaga pak cik. Makan, pakai semua mereka yang uruskan sebab kaki pak cik bengkak dan luka. Pak cik suka sangat masa tu walaupun tengah sakit.”
“Wahh, bagusnya anak-anak pakcik,” balasku.
“Tapi lepas dua minggu kaki pak cik tak sembuh juga, kaki pak cik makin teruk. Puas pak cik sapu minyak gamat, makan ubat, semua tak menjadi. Pak cik rasa putus asa. Tapi anak-anak pak cik tak. Mereka sabar layan kerenah pak cik. Dalam tempoh sakit tu macam-macam pak cik buat. Pak cik marah, pak cik baling bekas air. Pak cik lupa untuk bersabar,” seketika, pak cik menghela nafas.
“Sampailah satu hari, pak cik dah tak tahan. Ibu jari kaki dah semakin merah. Anak-anak pak cik bawa pak cik ke hospital ni. Doktor kata kaki pak cik lambat sembuh sebab pak cik ada kencing manis. Mereka kata ibu jari pak cik terpaksa dipotong untuk elakkan keadaan jadi makin teruk.”
“Lepas ibu jari tu dipotong, kaki pak cik tak jugak sembuh. Jangkitan tu dah merebak ke bahagian lain. Doktor sarankan pak cik potong sampai lutut. Anak- anak pak cik semua mula-mula terkejut juga. Anak bongsu pak cik tak benarkan. Tapi yang sulung cakap ini untuk kebaikan pak cik juga. Mereka semua setuju. Jadi, macam nilah keadaan pak cik. Pak cik kena duduk kat hospital sebab doktor nak tengok dulu. Nak bergerak susah sekarang, tapi ada nurse yang baik hati jadi senang la sikit. Anak-anak datang seminggu sekali.”
“Berat juga ujian pak cik. Tabah betul pak cik,” ujarku.
Sememangnya ujian yang Allah berikan kepada pak cik ini bukanlah kecil, diuji dengan kehilangan isteri tercinta, anak-anak yang jarang bertemu untuk mengisi kekosongannya, terlantar sakit secara tiba-tiba, dan sekarang kehilangan kaki sekaligus membataskan pergerakannya.
“Tak apa, pak cik tak pernah salahkan Dia untuk ujian yang pak cik terima. Apalah sangat nak dibandingkan dengan nikmat yang Dia bagi. Kalau nak dikira, tak terkira banyaknya nikmat Allah berbanding ujiannya. Ujian tu kan tanda Dia sayang. Dulu mungkin pak cik ada terleka. Allah uji pak cik dengan kehilangan isteri pak cik untuk ajar pak cik jadi sabar, untuk buatkan hati pak cik jadi kental dengan dunia ni.”
“Dalam masa yang sama mungkin Dia nak suruh pak cik muhasabah diri. Tapi lepas pak cik diberi ujian jatuh dan luka, Allah bagi lagi banyak nikmat. Allah hadirkan balik anak-anak pak cik yang dah lama pak cik rindu. Pak cik ego nak mengaku sebelum ni. Jadi, Allah tolong hadirkan mereka tanpa perlu pak cik merayu mereka balik,” pak cik berhenti menarik nafas untuk sesaat.
“Allah uji lagi dengan kaki dipotong. Mungkin nampak macam Allah tarik nikmat berjalan. Tapi dalam masa yang sama Dia hadiahkan nikmat yang lain. Waktu tu pak cik dapat rasa nikmat berehat. Selama ni pak cik hanya tahu bekerja sahaja. Pak cik tak tahu erti rehat sebab otak pak cik kusut. Bila pak cik hanya mampu berbaring, pak cik dapat nikmat dekat dengan Dia. Sebab pak cik tak perlu fikirkan hal kerja lagi.”
“Pak cik dapat solat dengan tenang dan khusyuk walaupun tak mampu berdiri sama macam orang lain. Pak cik dapat isi masa lapang dengan ilmu-ilmu agama. Di sebalik ujian yang Allah bagi juga, pak cik jumpa ramai orang-orang baik sekeliling pak cik. Pak cik tenang walaupun kaki pak cik dah tak ada. Pak cik belajar untuk lebih menghargai orang-orang sekeliling pak cik.” Aku hanya mampu tersenyum. Mengagumi pak cik ini.
Masya-Allah. Husnudzon itu indah. Di sebalik titis hujan yang disangkakan sarat dengan musibah dan kedukaan, tanpa sedar di situlah terselit kasih dan rahmat Tuhan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

MENGHADAPI UJIAN DARIPADA ALLAH DENGAN TENANG & REDHA

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.
Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah.
Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.
Ujian
Hadapi setiap ujian yang mendatang dengan tenang..
Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.
Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali?
Sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita.

ALLAH TIMPAKAN UJIAN SUPAYA KITA BERSABAR..

Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita.
Kita selalu tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.
Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya.
Mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya.
Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita.
Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita.
Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alihkan pandangan mata ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupan.
Jika rasa kecewa, alihkan pandangan ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih, alihkan pandangan ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan?
berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita.
Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.
Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita.
Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun!
Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing.
Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita.
Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya.
Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.
Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

PINTU MASIH TERBUKA

“Bang sy nak taubat. Tapi dosa sy banyak bang, sy takut Tuhan tak ampun” “Byk mana dosa kamu dik, ad setinggi langit ?” “Huh ?” “Wahai...